LATAR BELAKANG BESTARI NET TECHNOLOGY
Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun memerlukan jumlah tenaga mahir yang ramai bagi memastikan setiap perancangan yang disusun akan dapat dicapai pada waktu yang telah ditetapkan. Menyedari kepada keperluan tersebut maka Bestari Net Technology (M) Sdn. Bhd (Bestech) sebagai sebuah pusat pendidikan dan latihan berasaskan akademik dan kemahiran telah diwujudkan bagi sama-sama melahirkan tenaga mahir yang diperlukan oleh negara di masa akan datang. Bestech telah memulakan operasinya secara tidak rasmi pada awal 16hb. February 2000 sebagai Bahagian Latihan di Bestari Net Computer Sdn. Bhd. sebelum diasingkan operasinya dan seterusnya didaftarkan sebagai syarikat sendirian berhad secara rasmi pada 5 Februari 2002. Syarikat milik penuh Bumiputera ini diuruskan secara aktif oleh dua pemilik syernya, merangkap pengarah urusan dan pengarah operasi iaitu Encik Engku Mohd Azri dan Encik Zainal Abidin. Kedua-dua pemilik syarikat ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan perniagaan, latihan dan pengkomputeran.
Dalam usia yang masih muda Bestech telah mula mengorak langkah dalam usaha menjadikan mereka tidak ketinggalan dalam arus persaingan dengan pusat-pusat latihan samada berasaskan pendidikan mahupun kemahiran. Pihak Bestech telah mengadakan kerjasama dengan PTPL Associate bagi menjalankan kursus Diploma dan Advance Diploma Pengurusan Perniagaan, menandatangani MOU dengan L & G Twintech Institute of Technology bagi menganjur dan mengendalikan Kursus Persedian Bestari bagi kemasukan ke Higher National Diploma dan Degree Programme 3 + 0 , berdaftar sebagai Pusat Bertauliah di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) bagi kursus Sistem Komputer , Sistem Maklumat , Multimedia dan Programming (kesemuanya tahap 2 & 3), menjalinkan kerjasama dengan Uni Technology (M) Sdn. Bhd dan mendaftar sebagai perunding cara dibawah Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perunding berstatus Bumiputera. Di samping itu Bestech juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan kursus-kursus jangka pendek termasuk mengadakan Kem IT Bestari bagi pelbagai peringkat umur.
Komitmen kami dengan moto " Ke arah Memartabatkan Kemahiran" ialah menjadikan Bestech sebagai sebuah pusat latihan pendidikan dan kemahiran yang aktif dalam melahirkan tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan dan berkualiti tinggi.
OBJEKTIF PENUBUHAN
Membentuk satu entiti yang bertanggungjawab terhadap pengendalian pendidikan melalui pendekatan kemahiran yang efektif dan sistematik disamping mendedahkan warganya kepada sektor latihan yang kompetatif. Menjadi antara penyumbang aktif dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi, berketrampilan, produktif serta memahami konsep pekerjaan sebagai satu kepuasan bagi mencapai tahap kualiti yang optimum. Memenuhi tuntutan ekonomi serta keperluan industri dalam era teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang lebih informatif, komunikatif, inovatif seterusnya sebagai penyumbang kelahiran tenaga kerja professional yang agresif dan berdaya saing.
TUJUAN
"Menawarkan pelbagai kursus seperti Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan lain-lain bidang di peringkat sijil dan diploma sebagai pendedahan terbaik bagi melahirkan tenaga mahir yang berkualiti dalam bidang komputer, teknologi maklumat, pengurusan dan lain-lain."
MAKLUMAT PENTING PENUBUHAN
Bestari Net Technology (M) Sdn Bhd merupakan anak syarikat kepada Azri Zainal Holdings (M) Sdn Bhd. Ia diwujudkan khusus untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan latihan samada dalam bentuk akademik mahupun kemahiran dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat dan kemahiran ICT yang lain. di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan. Anak-anak syarikat yang lain ialah Bestari Net Computer Sdn Bhd, One Step Management Consultant Sdn. Bhd dan Azri Zainal Network (M) Sdn. Bhd.
Pusat Latihan Bestech merupakan sebuah institusi milik penuh Bestari Net Technology (M) Sdn. Bhd yang bermatlamat untuk melahirkan lulusan yang berkemahiran tinggi, mampu memenuhi kehendak pasaran, kerjaya dan mempunyai keyakinan dan keberanian untuk berdikari. Dalam rangka untuk memenuhi matlamat tersebut, Pusat Latihan Bestech telah menyediakan satu konsep pembelajaran yang bersepadu dengan menggabungkan antara kemahiran, akademik dan latihan secara praktikal. Pusat Latihan Bestach berkeyakinan tinggi bahawa produk keluarannya mampu bersaing di pasaran kerja secara terbuka. Gandingan mantap antara jentera pentadbiran yang efektif, pensyarah yang berpengalaman, suasana kampus yang selesa dan komitmen para pelajar yang tinggi, setiap matlamat yang digariskan akan dapat dicapai dalam tempoh pengajian tersebut.